Sesetengah orang tidak dapat menerima penderitaan yang dihadapinya seperti kehilangan orang yang disayangi atau harta benda. Apakah keengganan menerima keadaan perkara yang berlaku bererti menyanggah kekuasaan Allah? Apakah yang perlu kita lakukan apabila mengalami sesuatu musibah? Apabila seseorang menghadapi musibah, dia wajib menerima dengan berlapang dada dan bersabar. Contohnya menghadapi kematian orang yang dikasihi, kemalangan dan sakit.
musibah ialah ujian yang meningkatkan iman iaitu jalan untuk menambahkan kebaikan pada diri seseorang mukmin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan terhadapnya, Dia akan mengujinya dengan ditimpa musibah. (Riwayat Bukhari).
Sabda Baginda SAW dalam hadis lain pula, bermaksud:
“Seseorang Muslim yang ditimpa sesuatu kesakitan, kepenatan, dukacita, kegelisahan, kesedihan atau duri yang mengenainya, akan diampunkan dosa oleh Allah SWT” (Riwayat Bukahari).
Bagi menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya ialah:
1. Bersabar ketika mula ditimpa musibah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya sabar adalah pada kejutan pertama musibah berlaku” ( Riwayat Bukhari).
2. Mengucap ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ iaitu merujuk kembali apa pun musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT.
3. Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan dan bukan menjadi kesalahan. Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa sebarang musibah. Dikhuatiri mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT ataupun musuh bergembira melihat kesedihan kesan musibah yang kita hadapi.
4. Cendekiawan Islam dan orang yang bertakwa berusaha menyembunyikan musibah. Mereka gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang bakal diterima. (Gembira dan reda secara syarie bukan secara tabiie kerana tabiat manusia tentu tidak menyukai musibah.)
5. Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment